Hijrah Bersama Ilmu
UMAT Islam menyambut Maal Hijrah
setiap tahun bagi mengingati dan menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w dan
sahabat dalam peristiwa Hijrah dari Makkah ke Madinah. Hijrah adalah peristiwa
penting dalam sejarah Islam. Dalam konteks sirah Rasulullah s.a.w, Hijrah
membolehkan baginda mengatur strategi lebih berkesan bagi umat Islam
menggembleng usaha dan mengukuhkan kekuatan umat Islam.
Imej Warak Penuh Ilmu
Selama tempoh 1432 tahun kita
menyambut Maal Hijrah, bukan bermaksud sekadar kita berhijrah dari Makkah ke
Madinah atau dari satu tempat ke tempat lain tetapi yang penting menjiwai
perjuangan dan kebijaksanaan Rasulullah s.a.w menjana serta menobatkan Islam di
mercu dunia demi kesejahteraan umat. Hijrah bagi umat Islam bukan sekadar membilang
detik masa atau mengadakan pertunjukan hiburan dan bunga api, apatah lagi mabuk
sehingga melupakan tata susila sebagai seorang manusia.
Umat Islam perlu berhijrah daripada
melakukan perbuatan yang buruk kepada mencapai sesuatu yang lebih baik dan kejayaan.
Paling penting ialah meningkatkan ketakwaan agar terus kekal sebagai Muslim
yang mampu berdepan dengan apa jua cabaran yang mengganggu gugat keimanan.
Rasulullah s.a.w bersabda yang
maksudnya: Orang yang berhijrah itu ialah mereka yang meninggalkan apa-apa yang
dilarang Allah ke atasnya. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Konsep hubungan hijrah dan kejayaan
mendapat rahmat Allah dan disebut dalam al-Quran yang bermaksud: Sesungguhnya
orang yang beriman dan berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itulah
yang boleh mengharap rahmat dari-Nya.(al-Baqarah ayat 218).
Untuk berhijrah ke arah kejayaan, umat
Islam memerlukan ilmu kerana ia aspek terpenting dalam anjakan paradigma ummah
menuju kegemilangan. Sejarah membuktikan jatuh bangun sesebuah bangsa
ditentukan sejauh mana penduduknya berilmu. Tanpa ilmu, sesebuah bangsa dan
negara itu akan diperalat dan ditindas. Ini berlaku kepada beberapa negara di
Afrika. Sejarah Islam memberi jalan yang cantik bagaimana ilmu boleh dimanfaat
seperti kegemilangan Islam yang dicetuskan golongan ilmuan Islam. Mereka bukan
sahaja warak tetapi berilmu. Nama-nama seperti Ibnu Sina, al-Biruni, al-Kindi,
Ibnu Hayyan, Umar al-Khayyan dan al- Khawarizmi cukup mengerunkan dunia dengan
ketinggian ilmu pengetahuan.Namun, kegemilangan tamadun Islam gagal
dipertahankan.
Penjajahan kuasa Barat ke atas negara
dunia ketiga khususnya negara Islam turut memecahbelah umat Islam. Sebaliknya,
beberapa negara bukan Islam belajar rahsia kegemilangan Islam untuk menjadi
bangsa yang disegani masyarakat dunia.
Pada masa ini beberapa negara seperti
Jepun, China dan Korea Selatan mencapai kemajuan hebat dalam pelbagai bidang
hingga mampu bersaing dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Jerman,
Perancis dan beberapa negara Eropah. Jepun, misalnya hampir musnah ketika bom
atom digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki tetapi mereka bangun dan berhijrah
menjadi bangsa maju serta dihormati dunia. Apa rahsianya? Tentunya mereka
berilmu dan menghargai ilmu. Hijrah sebagai sunatullah bagi semua Nabi dan
Rasul adalah batu loncatan untuk memenangkan yang hak dalam peperangan di
antara kedua-duanya.
Dengan hijrah, yang hak memenangi
peperangan itu. Hijrah minda bermaksud seluruh hidup manusia itu diserahkan
kepada Allah semata-mata. Suatu ketika dahulu, umat Islam membuktikan kepada
dunia mereka umat cemerlang. Mereka membawa rahmat besar dan mewujudkan kualiti
modal insan yang mementingkan pembangunan rohani dan material. Mereka
membebaskan kesesatan akidah manusia dengan mewujudkan negara Islam di Timur Tengah,
Afrika Utara, Asia Tengah, sebahagian Eropah dan beberapa kawasan di Asia.
Mereka berjaya menjadikan negara Islam sebagai hab ilmu pengetahuan dan tempat
rujukan dunia.
Manusia berpengetahuan dan berilmu
menjadi tenaga penggerak tamadun manusia. Kemuncak dunia Islam sebagai hab ilmu
wujud pada zaman kerajaan Abassiah pada abad kelapan dan sembilan Masihi.
Seiring dengan sifat mahu menuntut
ilmu, umat Islam wajar menanam sikap mampu memberi pendapat, idea dan inovatif,
mereka cipta sesuatu yang baru dan menjadi masyarakat pintar. Kita tidak boleh
hidup dalam dunia yang jumud dan mengharap perubahan datang dengan sendiri
tanpa usaha. Justeru, sesuai dengan semangat Maal Hijrah umat Islam perlu
membetulkan kesilapan dan kelemahan diri.
Jika sebelum ini kita menanam azam
sempena Tahun Baru Masihi, kita juga mempunyai azam yang sama sempena Tahun
Baru Hijrah. Ini bermakna kita perlu membuang sikap malas, lesu dan mundur
selain meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran, kepakaran dan kebijaksanaan
bagi menjana kemajuan dan pembangunan negara. Bagi graduan universiti yang
mempunyai ilmu, gunakan azam Tahun Baru Hijrah untuk memajukan diri, keluarga
dan negara, bukan hanya menunggu pekerjaan datang kepada mereka.
Masanya sudah tiba bagi umat Islam di
negara ini bangkit daripada takuk lama dan menjadi insan yang benarbenar
cemerlang dan mengikut langkah umat terdahulu yang menjadikan negara Islam hab
ilmu pengetahuan.
nurjeehan.hadithuna.com
0 comments:
Post a Comment
Embedded below post