Friday 1 January 2016

Menjejak Tamadun Roman di Itali

SEBUT sahaja Itali, terbayang kehebatan bangunan bersejarah peninggalan tamadun Empayar Roman di mana ibu kota Itali - Rom telah berkurun dijadikan pusat peradaban politik dan agama mereka.
Begitu juga tempat menarik seperti Vatican City - Pusat Agama Katholik Dunia, Pisa dengan menara condong, Florence dengan Santa Maria del Fiore, Venice dengan terusan dan Milan, kota fesyen terkenal dunia.
Itali sangat sinonim dengan produk fesyen berjenama juga terkenal dengan industri berat seperti kereta Ferrari, Lamborghini, Fiat dan Alfa Romeo serta motosikal Ducatti dan Piaggio. Dengan banyak tarikan ditawarkan, Itali dengan penduduk 59.7 juta, menarik 43.7 juta pelancong tiap tahun dan menyumbang pendapatan 42.7 billion Euro setahun.
Akhir Oktober lepas, saya dan suami berpeluang melawat dan menyaksikan kehebatan Itali. Kami tiba di Lapangan Terbang Leonardo da Vinci, Rom pukul 1.05 tengahari menaiki penerbangan A380 Emirates hampir 14 jam (tidak termasuk transit di Dubai) dari Kuala Lumpur.
Tiba di sana, kami ke pusat bandar Rom terletak 17 kilometer (km) dari lapangan terbang untuk bersiar di tempat menarik. Ini termasuk Spanish Steps yang terkenal - tempat tumpuan pelancong dan penduduk tempatan bersantai minum kopi dan ais krim.
Spanish Steps mempunyai 135 anak tangga dari Piazza dei Spagna mendaki cerun ke Piazza Trinita dei Monti di mana letaknya Gereja Trinita dei Monti. Spanish Steps dibina diplomat Perancis, Etienne Gueffier dari 1723 hingga 1725 untuk menghubungkan Kedutaan Sepanyol dengan Gereja Trinita dei Monti. Di Piaza dei Spagna terdapat pancuran air Fontana della Barcaccia.
Satu tempat menarik bagi wanita terletak berhampiran Spanish Steps adalah Via dei Condotti - satu jalan sibuk dan pusat fesyen terkenal di Rom. Di situ deretan butik terkenal memperaga pelbagai keluaran terkini butik fesyen terkenal Itali - Gucci, Prada, Salvatore Ferragamo, Bvlgari, Furla dan Valentino serta butik antarabangsa Louis Vuitton, Dior, Jimmy Choo dan Hermes. Harga ditawarkan sudah pasti jauh lebih murah berbanding Malaysia. Pembeli boleh menuntut Cukai Nilai Tambah (VAT) 12 peratus di lapangan terbang semasa keluar dari Itali.
Malamnya kami ke Monte Mare, puncak bukit tertinggi Rom menikmati pemandangan kota dengan cahaya gemerlapan.
Esoknya, kami sekali lagi melawat kota Rom untuk melihat bangunan bersejarah sekitar Sungai Tevere. Kami ke Piazza Navona atau Dataran Bandaraya - terdapat beberapa pancuran air dibina sejak kurun ke-15. Pancuran paling terkenal di tengah dataran - Fontana dei Quattro Fiumi atau Fountain of the Four Rivers. Aktiviti di dataran meriah. Bagi penggemar seni, mereka boleh beli lukisan dan menonton persembahan artis jalanan.
SenibinaSeterusnya, kami berjalan menikmati keindahan bangunan senibina ciri Roman "Baraque" ke destinasi pelancongan popular di Rom iaitu Trevi Fountain. Dinamakan Trevi Fountain kerana terletak di Daerah Trevi, Rom. Ia dibina oleh arkitek Itali Nicola Salvi dan Pietro Bracci.
Pancuran air Baraque setinggi 26.3 meter terbesar dan termasyhur di dunia pernah dijadikan tempat penggambaran beberapa filem terkenal termasuk La Dolce Vita.
Kami ke Bandar Purba Roman dan Tugu Emmanuel II sebelum ke Roman Forum iaitu pintu masuk bangunan Colosseum yang dibina sekitar 70 hingga 80 Masehi.
Bangunan tersebut dianggap salah satu peninggalan terbesar senibina dan kejuruteraan Roman yang kekal ke hari ini.
Kemasyhurannya menggamit empat juta pelancong setahun melawat bangunan tersebut. Colosseum, sebuah stadium dibina di zaman purba sebagai tempat pertarungan hidup mati pahlawan zaman itu. Ini termasuk pertarungan manusia dengan binatang buas. Di bahagian dalam bangunan masih boleh dilihat peninggalan sangkar binatang dan tempat perlawanan.
Lepas itu, kami ke Vatican City iaitu sebuah negara berdaulat terletak dalam kota Rom, Itali. Luasnya 44 hektar dan penduduknya seramai 900 orang.
Vatican City adalah negara berdaulat terkecil di dunia dari segi keluasan dan penduduk. Ia dibentuk pada 1929 melalui Perjanjian Lateran antara Kerajaan Itali dengan Gereja Roman Katholik untuk dijadikan kota suci dan pusat pentadbiran Gereja Roman Katholik. Vatican City ditadbir oleh kerajaan diketuai Pope.
Dalam kawasan Vatican City terdapat Dataran St. Peter dan Bangunan St. Peter's Basilica dengan khazanah menakjubkan. Di situ terdapat Sistina Chapel dan Vatican Museum serta Istana Apostolik - kediaman rasmi Pope. Keselamatan seluruh Vatican di bawah kuasa Polis Negara Vatican.
Esoknya, kami ke Greve in Chianti - ladang anggur dan zaitun di Lembah Chianti, 273 km di utara Rom. Anggur di situ digunakan untuk wain.
Kami dapat menikmati pemandangan indah bukit-bukau dipenuhi ladang anggur dan zaitun semasa berada di sebuah istana di puncak bukit Wilayah Toscany.
Destinasi seterusnya adalah Pisa terletak 111 km dari Chianti. Semua ahli rombongan teruja melihat keindahan dan keajaiban Menara Condong Pisa.
Kami bernasib baik kerana cuaca sangat baik membolehkan kami bergambar sekitar Menara Condong Pisa yang dibina dengan batu marmar putih pada tahun 1173 setinggi 55.6 meter dengan 294 anak tangga. Asalnya menara itu dibina menegak tetapi sebab asasnya lemah, ia condong seperti hari ini.
Kami ke Florence, ibu kota Wilayah Tuscany yang mempunyai penduduk 370,000 orang. Bandar tersebut terkenal dengan sejarah Zaman Pertengahan Eropah dan dianggap tempat lahir Renaissance di Itali. Tempat bersejarah di Florence telah diisytihar Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 1982. Kami tiba di Florence pada malam.
Esoknya, kami ke puncak sebuah bukit di mana letaknya dataran Piazzale Michelangelo untuk melihat panorama bandar Florence.
Lepas itu kami ke kawasan bersejarah di Piazza del Duomo di mana letaknya Basilica di Santa Maria del Fiore - gereja terkenal dibina pada tahun 1296 hingga 1436, Museo dell'Opera del Duomo - muzium menempatkan karya seniman terkenal Florence seperti Luca della Robia, Donatello dan Michelangelo dibuka pada tahun 1891 dan bangunan Baptisterium San Giovanni.
Seterusnya kami ke Sungai Arno dan menyeberang jambatan bersejarah Ponte Vecchio. Kemudian ke Piazza del Signoria kami melihat keindahan Fountain of Neptune dan khazanah bersejarah karya terbaik Michelangelo, arkitek dan pelukis terkenal Florence.
Kami bertolak ke Barberrino di Mugello iaitu rangkaian kedai produk kilang terkenal dalam perjalanan ke Venice. Kami teruskan perjalanan sejauh 224 km ke Venice terletak di utara pantai timur Itali di hujung utara Laut Adriatic. Setelah tiga jam, kami tiba di Venice dan terus ke hotel di Magliano Veneto Treviso terletak di tanah besar bertentang bandar Venice.
Esoknya kami ke Venice melalui jambatan Ponte della Liberta yang menghubungkan tanah besar dengan bahagian utara Pulau Venice.
BerjalanBas dibenarkan ke tempat parkir. Dari situ kami berjalan ke Tronchetto Pier untuk menaiki teksi air ke Bandar Venice atau dalam bahasa Itali - Venezia.
Selepas menaiki teksi air lebih kurang 30 minit, kami tiba di jeti Piazza San Marco. Aktiviti pertama menaiki gondola menyusuri terusan bandar Venice. Alangkah indah dan romantik berada di atas gondola menyaksikan deretan bangunan lama di kiri kanan.
Bandar Venice terletak di atas gugusan 117 buah pulau kecil dipisahkan 150 terusan. Di antara terusan paling sibuk dan terkenal adalah Grand Canal.
Penduduk bandar Venice berjumlah 271,000 orang berjalan menyeberang terusan menggunakan 409 jambatan kecil di seluruh bandar Venice. Mereka bergerak menaiki bot atau gondola melalui terusan. Venice unik kerana ia sebuah bandar terbesar tanpa kereta di Eropah.
Selain menyaksikan terusan dan jambatan, kami melawat banyak lagi tempat menarik seperti St. Mark Basilica, Doge's Palace, St. Mark's Campanile, Piazza San Marco.
Setelah menikmati keindahan Venice, kami ke kota Milan di utara Itali sejauh 265 km. Perjalanan mengambil masa tiga jam 25 minit tidak termasuk singgah di Verona, kediaman Romeo dan Juliet untuk menyaksikan dinding lama dan balkoni Juliet.
Esoknya kami menyeberangi sempadan ke Lugano - pekan kecil terletak di selatan Switzerland. Bandar tersebut dihuni 62,000 orang kebanyakan bertutur bahasa Itali. Kedudukannya di pinggir Tasik Laguno dikelilingi gunung-ganang di kaki Banjaran Alps menjadikan bandar ini sangat cantik.
Kami bersiar-siar di tepi Tasik Lugano sambil menikmati udara dingin dan nyaman. Dari pinggir tasik, kami melihat keindahan gunung Sighiguola di Banjaran Alps.
Hari terakhir lawatan adalah kota Milan, ibu kota Wilayah Lombardia - wilayah paling maju dan kaya di Itali.
Kota Milan mempunyai penduduk 1.35 juta orang. Ia pusat industri, perdagangan dan kewangan Itali. Milan sangat terkenal sebagai pusat rekabentuk dan fesyen termasyhur dunia.
Semasa di Milan,kami mengunjungi Piazza Duomo dan Galleria Mall, pusat beli-belah tertua dan tersibuk dunia.
Sepanjang Via Monrenapoleone, Via Sant Andrea dan Via Della Spiga terdapat butik dan kedai menjual produk jenama terkenal.
Kami berpeluang mengunjungi tempat bersejarah di Milan seperti Milan Cathedral - gereja kelima terbesar dunia, Sforza Castle yang dibina pada kurun ke-15 dan melawat Santa Maria delle Grazia dihiasi dengan lukisan karya Leonardo da Vinci yang masyhur di seluruh dunia.
Selesai melawat kota Milan dan membeli belah di sana, kami bertolak ke Lapangan Antarabangsa Malpensa, Milan untuk pulang membawa beribu kenangan manis.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

1 comment:

  1. Artikel menarik...Berbagi vlog tentang Castello Sforzesco di Milan di youtube https://youtu.be/78pAFuUkfig
    Baca juga article di http://stenote-berkata.blogspot.com/2018/02/milan-di-castello-sforzesco.html

    ReplyDelete

Embedded below post